Foto : Aqilah Rohizad
Di ruangan ini, saya ingin berkenalan dengan para pembaca saya. Siapa saya?
![]() |
| Aqilah Rohizad |
Tanggal 11 September 1986, saya telah selamat dilahirkan di Hospital Universiti, Petaling Jaya. Anak sulung kepada ummi dan ayah saya. Anak yang telah dikandung selama sembilan bulan dengan penuh sayang dan cinta.
Lahir sebagai anak sulung dari sembilan beradik menjadi penyebab saya cepat matang berbanding rakan-rakan lain. Selalu sahaja ingin cepat menjadi dewasa. Membesar di kota Kuala Lumpur, saya tak kenal erti "balik kampung" di musim cuti. Kenapa? Kerana sebahagian besar keluarga saya termasuk datuk nenek, pakcik makcik dan sepupu juga turut menetap di sini. Hari Raya? Haruslah disambut di kota ini. Inilah kota, inilah juga kampung saya.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tun Hussein Onn di Jalan Dua, Kampung Pandan. Dahulunya dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Kampung Pandan. Sekolah yang telah wujud sejak bertahun lamanya. Dari bangunan setingkat diperbuat daripada kayu, hingga kini dinaiktaraf menjadi blok empat tingkat buatan konkrit.
Usai UPSR saya ditawarkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki. Juga di Kampung Pandan. Dekat sahaja dengan Kompleks Sukan Kampung Pandan. Waktu itu, itulah sekolah terbaik di pandangan mata. Tak mengapalah walau tidak berjaya ke sekolah berasrama penuh atau MRSM, kerana pada saya, di situlah saya mula menjadi matang dalam kehidupan.
Setelah itu, saya melanjutkan pengajian di peringkat diploma di Universiti Teknologi Malaysia, Kampus Kuala Lumpur. Bidang Kejuruteraan Awam adalah jurusan yang dipilih waktu itu. Tiga tahun menimba ilmu, saya meneruskan pencarian ilmu ke peringkat ijazah pula. Tapi kali ini, nun jauh di selatan tanah air. Mengubah angin, mencari tapak dan mengenali budaya yang baru di Universiti Teknologi Malaysia, Kampus Skudai. Di sinilah saya mula belajar berjauhan dari keluarga, pulang ke rumah dengan bas ekspres dan membiasakan diri dengan cuaca Johor yang panas dan kering berbanding Kuala Lumpur.
Tiga tahun di Skudai, saya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam pada tahun 2010. Dan bermulalah episod saya di dalam dunia pekerjaan. Di tahun yang sama juga saya telah menghadiri temuduga dan ditawarkan jawatan Jurutera J41 di Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam. Dan kini, tahun 2017, saya masih lagi berkhidmat sebagai penjawat awam. Cuma kini, nama Perbadanan saya bekerja telah diberi nafas baru. SWCorp.
Tugas saya? Perbadanan ini mengawal selia perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di 7 buah negeri di Semenanjung Malaysia. Selama 7 tahun berkhidmat, saya telah memegang tanggungjawab dalam pelbagai bidang. Mulanya terlibat dengan projek pembinaan dan naik taraf tapak pelupusan sampah, kepada aktiviti-aktiviti promosi kitar semula dan kesedaran masyarakat. Kini, saya terlibat dalam pemantauan syarikat-syarikat konsesi dalam perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam.
Bila pula saya mula berkecimpung dalam bisnes? Saya bukanlah orang yang gemarkan bisnes. Pada saya, bisnes itu leceh. Dan saya tak suka tawar menawar harga. Tapi entah mengapa, sejak menggunakan produk Shaklee selepas rawatan kandungan molar, saya rasa teruja untuk berkongsi dengan kawan-kawan tentang kelebihannya. Pendek kata, kini sudah setahun saya berjinak-jinak dengan bisnes Shaklee secara separuh masa.
Harapan saya dengan Akademi Bekerja Dari Rumah adalah untuk menjadikan blog saya kelihatan mesra dengan bakal-bakal pelanggan Shaklee saya. Satu hari nanti, saya berharap dapat meletakkan jawatan dan fokus pada bisnes saya secara sepenuh masa.

No comments:
Post a Comment